Sabtu, 9 Julai 2016

Ramadhan 2015 aku melalui pembedahan besar. Oleh kerana ovari dan rahimku telah dikeluarkan melalui pembedahan itu, aku putus haid secara paksaan. Jadi Ramadhan tahun ni aku berjaya puasa penuh sebulan. Allah tarik yang itu, Allah bagi yang ini. Allah maha Adil.

Ini adalah pengalaman berpuasa penuh sebulan, sejak sekian lama. Seingat aku, aku pernah berpuasa penuh sebulan semasa aku berumur 10 dan 11 tahun. Selepas itu aku akil baligh. Setiap tahun dapat cuti berganti. Jadi kejayaan berpuasa penuh sebulan adalah pengalaman yang sukar digambarkan.

Sejak putus haid, badan berasa sedikit panas. Aku tak boleh tidur lebih daripada 4 jam. Badan rasa panas. Jadi setiap malam pasti terjaga pukul 3pagi atau 4 pagi. Allah Maha Pengasih. Aku diberi jam loceng semula jadi untuk solat malam. 

Tiada perbelanjaan bulanan untuk tuala wanita. Semasa ada fibroid darah haid memang banyak. Aku kena guna 20 pad over night dan 20 pad biasa. Perbelanjaan dekat RM30 sebulan. Jadi sekarang aku peruntukan RM30 sebulan untuk sedekah. Aku buat tabung sedekah. Hari-hari masukkan RM1 dan bila ada kelapangan barulah aku pergi hantar kat masjid atau surau. Aku gembira sebab habit ini telah menjadi ikutan keluargaku.

Aku juga tidak akan membuat kerja yang berat-berat. Kerana kasih sayang Allah, ramai orang disekelilingku sudi membantu. Kalau dahulu aku suka berdikari, semua aku nak buat sendiri, sekarang aku kena rendahkan egoku. Aku perlu meminta tolong. Sebenarnya aku suka tolong orang tetapi aku tak suka orang tolong aku. Itu dulu.... Sekarang aku masih suka tolong orang dan aku menghargai orang yang tolong aku.  

Mungkin ada pembaca yang telah hilang ovari dan rahimnya. Saya harap kita dapat berkongsi pengalaman hidup tanpa mahkota wanita pinjaman Allah untuk setiap wanita di dunia ini.


1 ulasan:

  1. Saya ingin sekali berkenalan dengan insan seperti saya. Tiada ovari. Tiada rahim. Sekarang saya telah pulih drp trauma. Saya perlukan kumpulan sokongan untuk terus kuatkan semangat.

    BalasPadam