Sabtu, 9 Julai 2016

Ramadhan 2015 aku melalui pembedahan besar. Oleh kerana ovari dan rahimku telah dikeluarkan melalui pembedahan itu, aku putus haid secara paksaan. Jadi Ramadhan tahun ni aku berjaya puasa penuh sebulan. Allah tarik yang itu, Allah bagi yang ini. Allah maha Adil.

Ini adalah pengalaman berpuasa penuh sebulan, sejak sekian lama. Seingat aku, aku pernah berpuasa penuh sebulan semasa aku berumur 10 dan 11 tahun. Selepas itu aku akil baligh. Setiap tahun dapat cuti berganti. Jadi kejayaan berpuasa penuh sebulan adalah pengalaman yang sukar digambarkan.

Sejak putus haid, badan berasa sedikit panas. Aku tak boleh tidur lebih daripada 4 jam. Badan rasa panas. Jadi setiap malam pasti terjaga pukul 3pagi atau 4 pagi. Allah Maha Pengasih. Aku diberi jam loceng semula jadi untuk solat malam. 

Tiada perbelanjaan bulanan untuk tuala wanita. Semasa ada fibroid darah haid memang banyak. Aku kena guna 20 pad over night dan 20 pad biasa. Perbelanjaan dekat RM30 sebulan. Jadi sekarang aku peruntukan RM30 sebulan untuk sedekah. Aku buat tabung sedekah. Hari-hari masukkan RM1 dan bila ada kelapangan barulah aku pergi hantar kat masjid atau surau. Aku gembira sebab habit ini telah menjadi ikutan keluargaku.

Aku juga tidak akan membuat kerja yang berat-berat. Kerana kasih sayang Allah, ramai orang disekelilingku sudi membantu. Kalau dahulu aku suka berdikari, semua aku nak buat sendiri, sekarang aku kena rendahkan egoku. Aku perlu meminta tolong. Sebenarnya aku suka tolong orang tetapi aku tak suka orang tolong aku. Itu dulu.... Sekarang aku masih suka tolong orang dan aku menghargai orang yang tolong aku.  

Mungkin ada pembaca yang telah hilang ovari dan rahimnya. Saya harap kita dapat berkongsi pengalaman hidup tanpa mahkota wanita pinjaman Allah untuk setiap wanita di dunia ini.


Rabu, 24 Disember 2014

Segalanya bermula di sini...

Alhamdulillah. Saya Suzie. Baru nak mula... Tak berapa mahir. Tapi saya gagahkan juga. Kalau blog ni tak menarik, jangan kutuk ok?

Blog ini saya bina khas untuk membincangkan apa sahaja tentang kesihatan.
Sejak keluar hospital bulan Disember 2014, saya benar-benar prihatin dengan kesihatan saya. Seperti orang melayu yang lain makanan ruji saya ialah nasi. Setiap hari mesti makan nasi. Nasi goreng, nasi ayam, nasi beriani, nasi lemak, nasi putih, nasi perang, bubur nasi ...... macam-macam nasi ada.
Kalau nak gaya moden, kita ganti nasi dengan roti. Macam-macam roti ada. Kalau nak gaya antarabangsa kita ganti nasi dengan pasta, tortilla, mee segera, pizza, kentang goreng dan gandum.

Begitulah saya. Mungkin anda juga sama. Saya pernah berkawan dengan seseorang yang tidak boleh tinggalkan nasi walaupun sehari. Semua makanan yang saya sebutkan di atas adalah kumpulan makanan dalam kelas karbohidrat.  Jika kita rujuk piramid makanan, pakar nutrisi memang menyarankan kita mengambil karbohidrat dalam nisbah yang besar berbanding kelas-kelas makanan yang lain.


Mengikut piramid makanan di atas, makanan yang paling banyak mesti diambil ialah bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian (makanan aras 1). 5 hingga 12 hidangan sehari. Itulah yang saya amalkan sebelum ini. Banyakkan bijirin dan ubi-ubian. Betul ke cara saya tu ?

Oleh kerana manusia kreatif, kita buat resepi baharu supaya makanan aras 1 menjadi lebih enak lagi menyelerakan dengan menambahkan makanan aras 3 dan 4. Maka lahirlah roti canai, pizza, lasagna, donut, cup cake, bun dan wages.  Kalau nak lagi kwau, kita gabung semua sekali. Resepi kita buat ikut cita rasa dan selera kita. Sudah pasti kita tak berapa nak ikut nisbah kelas makanan seperti dalam piramid makanan. Pendek kata, kita tak berapa nak ikut prinsip dalam piramid makanan tu.

Malangnya sebahagian makanan aras 2 selalu dianaktirikan. Tentu kita pernah lihat iklan budak yang mengeluh kerana dihidangkan lauk sayur untuk makanan tengah harinya. Terjelepuk dia ke lantai. Neneknya kata, 'tak pe... susu ### kan ade'. Ada juga iklan yang mempromosikan susu kanak-kanak yang boleh menggantikan buah-buahan.  Pengiklan sedang mempengaruhi kita bahawa makanan aras 2 boleh  diubah menjadi makanan aras 3.

Bagaimanapun zaman sekarang, wujud sekumpulan manusia mengamalkan makanan mentah 'raw vegan'.  Mereka menjadikan makanan aras 2 - buah-buahan dan sayur-sayuran sebagai raja segala makanan. Mereka anti makanan yang diproses, makanan segera dan jajan. Mereka isytiharkan amalan mereka adalah 'clean diet'.  Saya ibaratkan mereka 'vegeterian moden'.  Hidangan makanan daripada sayur-sayuran dan buah-buahan mentah. Makanan tidak dimasak kerana ingin memelihara zat-zat yang mungkin hilang jika dipanaskan.

  

Jus dan smoothie memang menyelerakan.  Tapi kalau banyak sangat , 'jojok' jadinye....
Vegie moden ni memang tak ikut prinsip piramid makanan. Hidup dia orangpun simple aje. Tak payah masak, cuma makan mentah.  Makan makanan yang hidup lagi segar. Ramai pakar nutrisi percaya buah-buahan dan sayur-sayuran adalah 'penawar pelbagai penyakit'. Mereka berani mengatakan tiada pesakit jantung daripada kalangan orang yang tak makan haiwan ini.

Persoalannya, adakah piramid makanan masih boleh diguna pakai pada zaman sekarang ?

Nenek moyang kita di zaman batu, yang lelaki pergi berburu manakala yang perempuan mengumpul buah-buahan, sayur-sayuran, ubi-ubian, kekacang dan haiwan kecil. Apabila mereka mula bercucuk tanam dan menggunakan teknologi pertanian moden, barulah bijirin, hasil bijiran dan ubi-ubian menjadi makanan utama. Mereka juga berhenti berburu setelah industri penternakan mula berkembang.  Dengan sumber makanan yang meningkat, wujudlah carta piramid makanan sebagai panduan nutrisi yang sihat.

Rata-rata makanan aras 1 piramid makanan adalah daripada kelas karbohidrat.  Dalam perubatan moden, ahli sains telah mendapati karbohidrat adalah penyebab utama penyakit berkaitan nutrisi seperti diabetes, obesiti, hipertensi, sakit jantung dan sakit buah pinggang. Gaya hidup moden yang kurang sihat menambahkan masalah ini. Obesiti telah menyerang 30% penduduk Bumi.  Pengidap diabetes dan hipertensi telah meningkat di seluruh pelusuk dunia. Bilangan mesin dialisis semakin meningkat untuk memenuhi keperluan pesakit yang semakin meningkat bilangannya.

Sekarang, patutkah kita mengurangkan pengambilan makanan aras 1 ? Patutkan kita tukarkan makanan aras 2 menjadi makanan aras 1, dan makanan aras 1 menjadi makanan aras 2 ?
Ini bermakna, adakah  kita patut banyakkan memakan buah-buahan dan sayur-sayuran dan mengurangkan pengambilan bijirin, hasil bijirin dan ubi-ubian ?

Apa pendapat anda ?